Friday, July 25, 2008

Tahniah! 26-year high in June...

"NEWYORK (MarketWatch) -- Malaysia's consumer price inflation soared to a26-year high in June, official data showed Wednesday, heighteningexpectations that the central bank will hike interest rates at itsmeeting later this week. The consumer price index rose by 3.9% month-on-month in June to 7.7% year-on-year, Malaysia's department of statistics reported Wednesday.In comparison, the CPI index rose by 3.8% in May. The main reason for the surge in inflation is the substantial rise inthe price of petrol and diesel announced by the Malaysian government inearly June. June's inflation surge"will likely oblige Bank Negara to raise the overnight policy rate,probably as soon as the July 25 policy meeting, after holding it steadyat 3.50% for the past two years," said analysts at Action Economics.Bank Negara is Malaysia's central bank".

Malaysia boleh! Nampaknya nak naik lagilah tu...

Thursday, July 24, 2008

Kereta buruk dan Debat Anwar - Shabery



Hampir sepurnama lamanya penulis menyambut ulangtahun kedua pemasangan NGV kit pada kenderaannya. Lima tahun yang lalu, demi untuk menjamin kestabilan ekonomi rumahtangga, penulis hanya berupaya untuk membeli kereta terpakai jenis Honda Accord CA1 berkuasa 1958cc keluaran tahun 1989 yang hampir dua dekad usianya untuk mengelakkan dari dari tabiat berhutang. Alhamdulillah, kereta tersebut dibeli dalam keadaan baik dan pemilik kereta terdahulu begitu teliti dalam penjagaan engin kereta tersebut.

Apabila dalam kenyataan Pak Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia ke-9 menyatakan hasrat untuk mengadakan tak kurang dari 200 buah stesyen NGV di serata Semenanjung Malaysia, terlintas difikiran penulis bahawa apa yang pernah dinyatakan oleh Stephen Leeb, seorang pakar ekonomi dan juga penulis sebuah buku bertajuk “The Coming Economic Collapse – How you can thrive when oil cost $200 per barrel” mungkin akan menjadi kenyataan. Tambahan pula, tema Rancangan Malaysia ke 9 adalah merupakan persediaan untuk membina kekuatan ekonomi dalam suasana ekonomi dunia yang tidak bermaya. Oleh yang demikian, setelah kira-kira 4 bulan lamanya membuat perkiraan dan kajian sendiri, penulis memberanikan diri untuk bertanya beberapa syarikat pemasangan kit NGV di Lembah Kelang tentang baik buruknya penggunaan NGV. Tak cukup dengan rancangan penambahan stesyen NGV, kerajaan juga kelihatan amat berkobar-kobar untuk melaksanakan rancangan untuk memajukan industri membuatan Biodiesel. Berbekalkan alamat-alamat yang agak membimbangkan tersebut, setelah menunggu giliran kira-kira 2 bulan lamanya, barulah kit NGV dapat dipasang dengan jayanya.

Itulah detik bersejarah mulanya perubahan cara hidup penulis dan secara tak langsung memberi peluang untuk membina minda agar sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar!

Terima kasih kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang telah menghadiahkan rakyat dengan kenaikan harga bahan api secara mendadak, tak sampai pun tiga bulan memerintah, dan memungkiri janji yang pernah ditaburkan semasa pilihanraya yang baru berlangsung. Penulis berkesempatan bertanyakan pendapat beberapa seudara mara penyokong kuat parti kerajaan di Johor Bahru baru-baru ini yang melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan Kerajaan pusat yang dipilih. Kesal yang amat sangat kerana mereka yang dipilih seolah-olah tidak mengambil berat kebajikan rakyat. Belum lagi ditambah dengan isu “Iskandar” yang menyebabkan kekuatan bangsa Melayu kian terhakis, yang ditaja sendiri oleh parti pemerintah.

Semalam (15/07/2008) telah berlangsungnya debat diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Shaberi Cheek. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, marilah kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab berfikir sejenak dan menilai apakah kerajaan sekarang telah menjalankan amanah dengan cara yang terbaik. Antara hujah menarik yang dibahaskan adalah seperti berikut:

Kenaikan harga minyak dalam julat yang tinggi dan mendadak diluar jangkaan rakyat membebankan semua lapisan rakyat. Kerajaan sepatutnya menjalankan tanggungjawabnya secara bijaksana dalam perbelanjaan negara. DSAI juga memberikan cadangan agar subsidi harga gas kepada Independent Power Producer (IPP) yang mengaut keuntungan berlipat ganda (yang menyebabkan PETRONAS & TNB mengalami kerugian) dikurangkan. Ini adalah berdasarkan hujjah bahawa terdapat lebihan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 40% banyaknya yang merupakan suatu pembaziran.

Apabila ditanya oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek mengapakan pendekatan sedemikian tidak diambil oleh DSAI dahulu, DSAI mengemukakan hujah bahawa segala apa yang dilaksanakannya dahulu ada terdapat dalam rekod dan meminta kerajaan membuka meneliti sebab mengapa Tan Sri Ani Arope meletakkan jawatannya dari TNB iaitu kerana tidak bersetuju dengan cadangan EPU dan Perdana Menteri mengenai isu kadar tariff yang dikenakan kepada IPP yang merugikan TNB (secara tidak langsung kepada PETRONAS yang membekalkan gas pada harga yang murah). Tiada jawapan atau apa-apa komen diperolehi dari Datuk Shabery Cheek mengenai hal ini!

Kepentingan dan kebajikan rakyat LEBIH utama kerana suara rakyat adalah suara keramat. Tanpa rakyat, maka tiadalah kerajaan. Jelas pendekatan yang diambil oleh Pakatan Rakyat lebih menjurus kepada menjaga kebajikan rakyat dan KETUANAN RAKYAT (tanpa mengira bangsa) menjadi teras perjuangan parti komponen Pakatan Rakyat.

Penulis berasa hairan mengapakan Venezuala serta Iran dijadikan contoh perbandingan dengan Malaysia oleh Datuk Shabery Cheek dalah hujahnya untuk menyatakan bahawa walaupun harga minyak di kedua-dua negara tersebut murah, inflasi dinegara-negara berkenaan sangat tinggi. Apakah Datuk Shabeery terlupa bahawa Venezuala adalah antara negara Amerika latin yang tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat dan ianya juga tidak mempunyai hasil ekonomi lain yang boleh dijadikan sandaran kukuh untuk membangunkan ekonomi. Iran pula, walaupun kaya dengan minyak, sudah sekian lama tersisih daripada negara luar dan menghadapi ancaman sekatan ekonomi kerana mempertahankan kedaulatannya dari kuasa penjajahan barat!

Datuk Shabery juga tidak menjawab pertanyaan Zulkifli Sulong yang bertanyakan soalan mengenai peruntukan RM4 billion lebih yang sepatutnya dibelanjakan untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam. Setakat ini menurut laporan, kerajaan hanya membelanjakan kira-kira lapan ratus ribu ringgit sahaja dan sesungguhnya pembaikan atau peningkatan kepada sistem pengangkutan awam tidak dapat dilihat dengan jelas sehingga ke hari ini. Sekarang apabila harga minyak dinaikkan mendadak, kononnya terdapat penjimatan subisidi sebanyak RM13 billion. Soalan Zulkifli Sulong ditolak oleh Shabery dengan mengatakan Zulkifli tidak mengikut perkembangan harga minyak yang semakin naik. Namun ianya tetap tidak menjawab persoalan:

  • Apakah yang telah terjadi kepada lebihan RM4 billion lebih yang sepatutnya dibelanjakan untuk mempertingkatkan pengangkutan awam – sedangkan nak membelanjakan peruntukkan RM800 ribu pun kerajaan menghadapi kesukaran? (ini membuka ruang rakyat untuk membuat tanggapan negatif terhadap kerajaan)|

  • Apakah yang bakal dibuat dengan penjimatan RM13 Billion yang diperolehi kerajaan tahun ini akibat tindakan kerajaan menaikkan harga minyak pada aras sekarang ini?

Malang sekali kita walaupun negara mempunyai asas ekonomi yang berteraskan perbagai sumber seperti industri terutamanya elektronik. kepala sawit, getah, perlancongan dan lain-lain, harga bahan api tetap naik secara mendadak.

Naib Chancelor Universiti Utara Malaysia pula kelihatan keliru apabila membuat pertanyaan kaitan mengenai apa kena mengena IPP dengan harga minyak - sedangkan saentaro dunia mengetahui apabila kita memperkatakan tentang perolehan syarikat petroleum, sudah tentu sekali ianya merujuk kepada industri “oil and gas”

Pada pendapat penulis, apa yang dibangkitkan oleh DSAI sebenarnya adalah mengenai pentingnya tatacara yang berhemah dalam menjana ekonomi negara terutamanya mengenai cara-cara menangani ketirisan dan kebocoran hasil kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan sedangkan wakil dari pihak kerajaan hanya menyempitkan ruang perbahasan terhad kepada janji Pakatan Rakyat kenaikan harga minyak sahaja yang kononnya digunakan untuk meraih sokongan rakyat.

Sesungguhnya rakyat boleh berfikir dan menilai sendiri apa yang baik untuk diri dan persepsi yang diperolehi boleh mempengaruhi keadaan sekeliling.

Akhir kata, suara rakyat adalah suara keramat. Rakyat adalah sebenarnya tuan. Wakil Rakyat yang dilantik sepatutnya memberikan penyelesaian dan perkhidmatan yang terbaik untuk menjamin kesejahteraan. Meminjam kata-kata Nabil “Hah… ko pikirlah sendiri!!”

Sekiranya keadaan tidak berubah, rakyat biasa seperti penulis akan sampai bila-bila terpaksa menggunakan kereta buruk demi menyahut seruan BN untuk mengubah cara hidup... biar rakyat papa kedana asalkan kroni kaya bergaya.

Semoga DSAI serta keluarga sentiasa bersabar dan bertawakkal kepada Allah diatas ujian yang diberikanNYA.

Monday, July 21, 2008

Wang kecil dan NGV

Bagi sesiapa yang tidak pernah mengisi gas NGV, mereka akan menyangkakan bahawa pengisian gas sama aje dengan pengisian petrol atau diesel. Pam aje... tapi sebenarnya jumlah yang dapat masuk ke dalam tangki gas adalah bergantung kepada beberapa faktor terutamanya kekuatan kompressor gas semasa pengisian dibuat.

Maka adalah mustahil sekiranya pengguna mahukan jumlah gas yang dibeli menepati wang yang ingin dikemukakan sebagai bayaran. Selalunya pembelian gas untuk NGV akan memerlukan pembayaran yang melibatkan wang kecil... contohnya RM6.72 atau 8.53 dan lain-lain contoh seumpamanya... selalunya dalam kes sebegini, wang yang dikembalikan kepada pengguna selalunya kurang... "short" beberapa sen, walaupun kerajaan telah menetapkan jumlah yang perlu dibayar digenapkan ke angka yang terdekat menurut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

Dah la bayar secara tunai, almaklum selalu "short" pulak...(beberapa sen pun duit juga... )

Sewajarnya kerajaan memikirkan cara pembayaran alternatif contohnya dengan menolak jumlah wang tersimpan yang sedia ada dalam kad Touch & Go, contohnya . Kalau tidak, sampai bila-bila keadaan tidak diperbaiki... maka akan ku haramkan buat selama-lamanya setiap dan tiap-tiap sen yang pengusaha stesyen gas sapu tanpa kerelaan hati ku .... Kat Akhirat kelak, pandai-pandailah kome gonggong wang siling tu ganti balik kat aku!

Putar Alam sipeniaga alat penjimatan minyak..

Seorang rakan setugas dipejabat memaklumkan saya bahawa terdapat segelintir peniaga peralatan penjimatan minyak yang berasaskan air yang mendakwa penggunaan NGV akan menyebabkan engin kenderaan terpaksa dibersihkan dengan lebih kerap kerana kononnya NGV akan menyebabkan pengenapan karbon didinding silender dan juga dalam kebuk pembakaran.

Ada juga makhluk yang macam ini.... sedangkan fakta saintifik menunjukkan bahawa RON petrol adalah 97 dan 92 dan RON untuk NGV adalah 120-130. Semakin tinggi RON sesuatu bahan api maka semakin bersih bahan api tersebut.

Soalannya dari mana peniaga tersebut mendapat fakta yang mengelirukan dan tidak disokong oleh mana-mana kajian saintifik?

Sunday, July 13, 2008

Kenaikan Harga Bahan Api

Nukilan : Zawaluhelme Abdul Wahab 14 Julai 2008

Isu Kenaikan harga bahan api telah menjadi topik hangat yang di bincangkan oleh masyarakat kebelakangan ini. Rata rata ramai yang merasakan bahawa kerajaan sepatutnya tidak tergesa gesa untuk menaikan harga bahan api yang akan hanya mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan lain yang berkemungkinan besar akan menyebabkan masalah inflasi kepada negara.

Pada hemat saya rakyat negara ini telah terlalu biasa dan menjadi manja akibat dari


1. Terlalu bergantung kepada lebuhraya bertol



Kemudahan jalinan perhubungan jalanraya yang baik terutamanya apabila rakyat terlalu bergantung kepada penggunaan lebuhraya utara selatan (plus) sehinggalah ramai yang terlupa bahawa kemudahan itu dimiliki oleh pihak swasta dan penggunaannya adalah dikenakan bayaran tol.

Akibatnya sekiranya berlaku kenaikan tol (sepertimana yang telah dipersetujui diantara kerajaan dengan syarikat konsesi terbabit), pihak peniaga yang bergantung kepada penghantaran barangan keperluan melalui kemudahan lebuhraya bertol akan mengambil jalan mudah untuk menampung kembali pertambahan kos harga tol yang terpaksa dibayar!

Persoalannya sekarang apakah para peniaga dinegara ini tiada lagi alternatif lain selain dari menggunakan lebuhraya bertol? Keadaan yang sama boleh diperhatikan terutamanya semasa hari perayaan ataupun musim cuti sekolah dimana kenderaan akan bersesak sesak memenuhi jalan yang sememangnya tidak dapat menampung pertambahan kenderaan.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tuntutan pengguna yang membantah apa jua kenaikan tol, yang telah dipersetujui diantara kerajaan pusat dan syarikat konsesi terbabit. Untuk meredakan kemarahan pengguna, selalunya kerajaan pusat akan mengalah dan mahu tak mahu, syarikat konsesi terbabit akan mendapat laba apabila diberikan pampasan sebagai ganti kepada penangguhan atau pengurangan kenaikan harga tol seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

Tindakan pembayaran pampasan adalah tidak adil kepada pembayar cukai yang tidak menggunakan lebuhraya bertol tersebut.

2. Tidak wujud sistem maklumat keadaan lebuhraya yang tepat, cepat dan berkesan.

Sehingga ke hari ini, tiada apa apa inisiatif yang diambil secara proaktif untuk mengadakan sistem panel maklumat yang akan mengira dan sekurang kurangnya memaklumkan pengguna lebohraya mengenai keadaan semasa lebohraya dan jangkaan masa yang akan diambil oleh pengguna untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Sekiranya sistem seperti ini di boleh di wujudkan sebagai pemberitahuan maklumat tambahan yang buat masa ini dimaklumkan menerusi siaran radio, saya percaya pengguna dapat membuat pilihan yang tepat untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik dan menjimatkan penggunaan bahanapi.

3. Kurangnya pendedahan kepada orang ramai mengenai penggunaan gas asli mampat untuk kenderaan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa simpanan sumber risab gas asli di Malaysia adalah dianggarkan berada pada tempat ke13 di dunia.

Gas asli mampat (NGV) yang selama ini digunakan secara meluas oleh pemilik teksi di lembah Kelang serta pantai barat Semenanjung Malaysia kini mendapat liputan meluas di dada akhbar dan juga disiarkan di stesyen stesyen tv tempatan. Kalau dahulu ianya dianggap hanya layak digunakan oleh teksi, namun kini semakin popular penggunaannya apabila kerajaan mengumumkan bahawa harga gas untuk NGV tetap dikekalkan pada harga 0.68 sen seliter iaitu hanya merupakan 1/4 dari harga pasaran petrol semasa.

Walaupun beberapa insentif diberikan oleh kerajaan (contohnya pengurangan 25% kepada cukai jalan untuk kenderaan bi-fuel) isu utama yang menghalang penggunaan NGV secara meluas adalah kerana

1. Kurangnya taburan perkhidmatan stesen untuk mengisi gas NGV yang rata ratanya masih bertumpu di pantai barat semenanjung Malaysia.

Sepatutnya kemudahan rebat untuk bahan api yang diumumkan oleh kerajaan baru baru ini juga diberikan kepada pemilik individu kenderaan bi-fuel petrol-NGV kerana kurangnya kewujudan stesen gas. Ketidakadilan ini juga tidak menyumbang kepada pertambahan penggunaan NGV. Alasan yang diberikan Menteri bahawa harga NGV itu sendiri telah diberikan subsidi oleh kerajaan. Sewajarnya, pengguna NGV sedia ada juga patut mendapat rebat sebagai insentif tambahan kerana terlebih dahulu mengambil langkah bijak antara lain, berkorban ruang tempat penyimpanan barang, sabar dalam pengurusan masa mengisi gas NGV dan secara umumnya berusaha secara positif untuk mengurangkan kebergantungan kepada petrol

2. Majoriti stesyen NGV tidak menjalankan operasi 24 jam

Keadaan ini menyumbang kepada masalah pengguna NGV terpaksa beratur panjang dan bersaing dengan pembekal perkhimatan pengangkutan awam seperti teksi dan bas.

3.Kedudukan lokasi stesyan NGV terhad kepada kawasan laluan sistem paip gas sedia ada

Sehingga ke hari ini tiada stesen gas NGV beroperasi di lebuhraya utama negara. Pengguna NGV terpaksa keluar dari lebuhraya tol untuk mengisi gas NGV. Terdapat beberapa stesyen NGV yang terpaksa dihantar bekalan gasnya menggunakan lori penghantaran gas.


4. Masalah penyelenggaraan kompressor tekanan gas NGV



Jumlah gas NGV yang boleh diisi ke dalam tangki gas kenderaan NGV adalah dipengaruhi oleh kebolehupayaan kompressor gas stesyen NGV tersebut. Sekiranya kompressor gas stesyen tidak diselanggarakan dengan baik, maka tekanan untuk mengisi gas akan berkurangan. Kebolehupayaan kompressor gas stesyen NGV adalah tertakluk kepada kapasiti tekanan yang berupaya dijana.

Sekiranya terdapat banyak kiosk pengisian gas beroperasi pada masa yang sama, kekuatan kapasiti tekanan gas akan dibahagikan dengan jumlah kiosk pengisian gas yang sedang beroperasi dan ini bermakna keupayaan pengisian gas akan berkurangan. Maka ianya bukannya suatu yang ganjil sekiranya sesebuah stesyen NGV mempunyai banyak kiosk namun yang boleh beroperasi hanyalah sebahagian kecil sahaja.


5. Tiada banyak pilihan model kenderaan yang telah siap dipasang dengan sistem NGV


Sehingga ke hari ini tiada banyak pilihan model kenderaan yang telah siap dipasang dengan sistem NGV berada dipasaran kecuali mpv Nazaria dan yang terbaru dilancarkan, oleh Hyundai. Syarikat kereta nasional negara, PROTON baru terhegeh-hegeh memaklumkan rancangan untuk mengeluarkan model kenderaan buatannya yang telah siap dipasang dengan kit NGV.

6. Pemasangan set NGV pada kenderaan baru dibeli membatalkan warranti pengeluar kenderaan

Pemasangan sistem NGV sebagai system tambahan kepada kenderaan baru akan membatalkan warranti pengeluar kenderaan kerana penggunaan NGV mengubah sistem bahanapi yang digunakan. Pengeluar kenderaan tidak boleh dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat kerosakan atau kehilangan fungsi kenderaan yang dipasang dengan sistem NGV yang berkemungkinan tidak serasi dengan engin kenderaan.


7. Tidak semua kenderaan boleh dipasang dengan sistem bahanapi NGV

Setakat ini hanya kenderaan berinjin petrol yang boleh dipasang dengan sistem bahanapi NGV dengan kos pemasangan yang munasabah. Pemasangan sistem bahanapi NGV kepada kenderaan berinjin diesel adalah sangat mahal dan tidak berbaloi. Tambahan pula pembakaran bahanapi NGV hampir hampir sama dengan pembakaran petrol didalam injin. Hanya kenderaan yang diselanggarakan dengan baik sesuai dengan sistem NGV.


8. Kurangnya pemasang sistem NGV bertauliah yang berpengalaman di Malaysia

Memang banyak syarikat yang memberikan perkhidmatan pemasangan sistem NGV, namun pengalaman syarikat pemasang NGV, langkah langkah pemasangan yang selamat dan teliti serta khidmat selepas jualan yang membezakan kepuasan pengguna.


9. Kurangnya pengetahuan pengguna mengenai tatacara penyelenggaraan sistem NGV


Sistem NGV adalah sensitif dan memerlukan penyelenggaraan dan penalaan semula secara berkala. Enjin kenderaan yang menggunakan NGV beroperasi pada suhu engin yang lebih panas dan kering yang akan menyebabkan kehausan injap enjin. Oleh yang demikian sistem penyejukan kenderaan perlulah berada pada tahap yang baik pada setiap masa dan sebaik baiknya alat pelepasan pelincir khas untuk menyejukan injap serta kepala silinder dipasang untuk memanjangkan hayat injap dan silinder engin. (Setakat ini dalam pengetahuan penulis hanya ada satu syarikat di Malaysia yang memberikan khidmat menjual dan memasang alat pelepasan pelincir khas untuk menyejukan injap serta kepala silinder).

10. Salah faham mengenai keselamatan kenderaan dan stesyen NGV

Ini adalah antara merupakan kekhuatiran utama bakal pengguna NGV dan penerangan yang sewajarnya perlulah diberikan. Penggunaan gas asli sebagai bahanapi kenderaan adalah amat meluas dan meliputi Argentina, India, Jepun dan juga Australia.

Kesimpulan

Faktor kenaikan harga minyak dunia ditambah dengan sikap sesetengah pihak yang tidak mengambil langkah berhemah berjimat cermat hanya akan mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain.

Penggunaan bahanapi alternatif seperti gas asli mampat untuk kenderaan yang harganya telah ditetapkan berupaya untuk menjimatkan kos pengoperasian kenderaan.

Langkah langkah yang sewajarnya untuk mengatasi dan menampung kekurangan yang masih ada terutamanya penyediaan lebih banyak stesen NGV oleh Petronas amat perlu diberikan perhatian khusus.

Petronas yang memiliki infrastruktur pemprosesan gas di Bintulu yang juga merupakan logi memproses gas asli terbesar di rantau ini serta memiliki sistem penghantaran dan jalinan paip gas perlu mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan penggunaan NGV selaras dengan saranan kerajaan yang menggalakkan penggunaan bahanapi yang lebih bersih dan mesra alam.