Sunday, July 13, 2008

Kenaikan Harga Bahan Api

Nukilan : Zawaluhelme Abdul Wahab 14 Julai 2008

Isu Kenaikan harga bahan api telah menjadi topik hangat yang di bincangkan oleh masyarakat kebelakangan ini. Rata rata ramai yang merasakan bahawa kerajaan sepatutnya tidak tergesa gesa untuk menaikan harga bahan api yang akan hanya mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan lain yang berkemungkinan besar akan menyebabkan masalah inflasi kepada negara.

Pada hemat saya rakyat negara ini telah terlalu biasa dan menjadi manja akibat dari


1. Terlalu bergantung kepada lebuhraya bertol



Kemudahan jalinan perhubungan jalanraya yang baik terutamanya apabila rakyat terlalu bergantung kepada penggunaan lebuhraya utara selatan (plus) sehinggalah ramai yang terlupa bahawa kemudahan itu dimiliki oleh pihak swasta dan penggunaannya adalah dikenakan bayaran tol.

Akibatnya sekiranya berlaku kenaikan tol (sepertimana yang telah dipersetujui diantara kerajaan dengan syarikat konsesi terbabit), pihak peniaga yang bergantung kepada penghantaran barangan keperluan melalui kemudahan lebuhraya bertol akan mengambil jalan mudah untuk menampung kembali pertambahan kos harga tol yang terpaksa dibayar!

Persoalannya sekarang apakah para peniaga dinegara ini tiada lagi alternatif lain selain dari menggunakan lebuhraya bertol? Keadaan yang sama boleh diperhatikan terutamanya semasa hari perayaan ataupun musim cuti sekolah dimana kenderaan akan bersesak sesak memenuhi jalan yang sememangnya tidak dapat menampung pertambahan kenderaan.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tuntutan pengguna yang membantah apa jua kenaikan tol, yang telah dipersetujui diantara kerajaan pusat dan syarikat konsesi terbabit. Untuk meredakan kemarahan pengguna, selalunya kerajaan pusat akan mengalah dan mahu tak mahu, syarikat konsesi terbabit akan mendapat laba apabila diberikan pampasan sebagai ganti kepada penangguhan atau pengurangan kenaikan harga tol seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

Tindakan pembayaran pampasan adalah tidak adil kepada pembayar cukai yang tidak menggunakan lebuhraya bertol tersebut.

2. Tidak wujud sistem maklumat keadaan lebuhraya yang tepat, cepat dan berkesan.

Sehingga ke hari ini, tiada apa apa inisiatif yang diambil secara proaktif untuk mengadakan sistem panel maklumat yang akan mengira dan sekurang kurangnya memaklumkan pengguna lebohraya mengenai keadaan semasa lebohraya dan jangkaan masa yang akan diambil oleh pengguna untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Sekiranya sistem seperti ini di boleh di wujudkan sebagai pemberitahuan maklumat tambahan yang buat masa ini dimaklumkan menerusi siaran radio, saya percaya pengguna dapat membuat pilihan yang tepat untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik dan menjimatkan penggunaan bahanapi.

3. Kurangnya pendedahan kepada orang ramai mengenai penggunaan gas asli mampat untuk kenderaan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa simpanan sumber risab gas asli di Malaysia adalah dianggarkan berada pada tempat ke13 di dunia.

Gas asli mampat (NGV) yang selama ini digunakan secara meluas oleh pemilik teksi di lembah Kelang serta pantai barat Semenanjung Malaysia kini mendapat liputan meluas di dada akhbar dan juga disiarkan di stesyen stesyen tv tempatan. Kalau dahulu ianya dianggap hanya layak digunakan oleh teksi, namun kini semakin popular penggunaannya apabila kerajaan mengumumkan bahawa harga gas untuk NGV tetap dikekalkan pada harga 0.68 sen seliter iaitu hanya merupakan 1/4 dari harga pasaran petrol semasa.

Walaupun beberapa insentif diberikan oleh kerajaan (contohnya pengurangan 25% kepada cukai jalan untuk kenderaan bi-fuel) isu utama yang menghalang penggunaan NGV secara meluas adalah kerana

1. Kurangnya taburan perkhidmatan stesen untuk mengisi gas NGV yang rata ratanya masih bertumpu di pantai barat semenanjung Malaysia.

Sepatutnya kemudahan rebat untuk bahan api yang diumumkan oleh kerajaan baru baru ini juga diberikan kepada pemilik individu kenderaan bi-fuel petrol-NGV kerana kurangnya kewujudan stesen gas. Ketidakadilan ini juga tidak menyumbang kepada pertambahan penggunaan NGV. Alasan yang diberikan Menteri bahawa harga NGV itu sendiri telah diberikan subsidi oleh kerajaan. Sewajarnya, pengguna NGV sedia ada juga patut mendapat rebat sebagai insentif tambahan kerana terlebih dahulu mengambil langkah bijak antara lain, berkorban ruang tempat penyimpanan barang, sabar dalam pengurusan masa mengisi gas NGV dan secara umumnya berusaha secara positif untuk mengurangkan kebergantungan kepada petrol

2. Majoriti stesyen NGV tidak menjalankan operasi 24 jam

Keadaan ini menyumbang kepada masalah pengguna NGV terpaksa beratur panjang dan bersaing dengan pembekal perkhimatan pengangkutan awam seperti teksi dan bas.

3.Kedudukan lokasi stesyan NGV terhad kepada kawasan laluan sistem paip gas sedia ada

Sehingga ke hari ini tiada stesen gas NGV beroperasi di lebuhraya utama negara. Pengguna NGV terpaksa keluar dari lebuhraya tol untuk mengisi gas NGV. Terdapat beberapa stesyen NGV yang terpaksa dihantar bekalan gasnya menggunakan lori penghantaran gas.


4. Masalah penyelenggaraan kompressor tekanan gas NGV



Jumlah gas NGV yang boleh diisi ke dalam tangki gas kenderaan NGV adalah dipengaruhi oleh kebolehupayaan kompressor gas stesyen NGV tersebut. Sekiranya kompressor gas stesyen tidak diselanggarakan dengan baik, maka tekanan untuk mengisi gas akan berkurangan. Kebolehupayaan kompressor gas stesyen NGV adalah tertakluk kepada kapasiti tekanan yang berupaya dijana.

Sekiranya terdapat banyak kiosk pengisian gas beroperasi pada masa yang sama, kekuatan kapasiti tekanan gas akan dibahagikan dengan jumlah kiosk pengisian gas yang sedang beroperasi dan ini bermakna keupayaan pengisian gas akan berkurangan. Maka ianya bukannya suatu yang ganjil sekiranya sesebuah stesyen NGV mempunyai banyak kiosk namun yang boleh beroperasi hanyalah sebahagian kecil sahaja.


5. Tiada banyak pilihan model kenderaan yang telah siap dipasang dengan sistem NGV


Sehingga ke hari ini tiada banyak pilihan model kenderaan yang telah siap dipasang dengan sistem NGV berada dipasaran kecuali mpv Nazaria dan yang terbaru dilancarkan, oleh Hyundai. Syarikat kereta nasional negara, PROTON baru terhegeh-hegeh memaklumkan rancangan untuk mengeluarkan model kenderaan buatannya yang telah siap dipasang dengan kit NGV.

6. Pemasangan set NGV pada kenderaan baru dibeli membatalkan warranti pengeluar kenderaan

Pemasangan sistem NGV sebagai system tambahan kepada kenderaan baru akan membatalkan warranti pengeluar kenderaan kerana penggunaan NGV mengubah sistem bahanapi yang digunakan. Pengeluar kenderaan tidak boleh dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat kerosakan atau kehilangan fungsi kenderaan yang dipasang dengan sistem NGV yang berkemungkinan tidak serasi dengan engin kenderaan.


7. Tidak semua kenderaan boleh dipasang dengan sistem bahanapi NGV

Setakat ini hanya kenderaan berinjin petrol yang boleh dipasang dengan sistem bahanapi NGV dengan kos pemasangan yang munasabah. Pemasangan sistem bahanapi NGV kepada kenderaan berinjin diesel adalah sangat mahal dan tidak berbaloi. Tambahan pula pembakaran bahanapi NGV hampir hampir sama dengan pembakaran petrol didalam injin. Hanya kenderaan yang diselanggarakan dengan baik sesuai dengan sistem NGV.


8. Kurangnya pemasang sistem NGV bertauliah yang berpengalaman di Malaysia

Memang banyak syarikat yang memberikan perkhidmatan pemasangan sistem NGV, namun pengalaman syarikat pemasang NGV, langkah langkah pemasangan yang selamat dan teliti serta khidmat selepas jualan yang membezakan kepuasan pengguna.


9. Kurangnya pengetahuan pengguna mengenai tatacara penyelenggaraan sistem NGV


Sistem NGV adalah sensitif dan memerlukan penyelenggaraan dan penalaan semula secara berkala. Enjin kenderaan yang menggunakan NGV beroperasi pada suhu engin yang lebih panas dan kering yang akan menyebabkan kehausan injap enjin. Oleh yang demikian sistem penyejukan kenderaan perlulah berada pada tahap yang baik pada setiap masa dan sebaik baiknya alat pelepasan pelincir khas untuk menyejukan injap serta kepala silinder dipasang untuk memanjangkan hayat injap dan silinder engin. (Setakat ini dalam pengetahuan penulis hanya ada satu syarikat di Malaysia yang memberikan khidmat menjual dan memasang alat pelepasan pelincir khas untuk menyejukan injap serta kepala silinder).

10. Salah faham mengenai keselamatan kenderaan dan stesyen NGV

Ini adalah antara merupakan kekhuatiran utama bakal pengguna NGV dan penerangan yang sewajarnya perlulah diberikan. Penggunaan gas asli sebagai bahanapi kenderaan adalah amat meluas dan meliputi Argentina, India, Jepun dan juga Australia.

Kesimpulan

Faktor kenaikan harga minyak dunia ditambah dengan sikap sesetengah pihak yang tidak mengambil langkah berhemah berjimat cermat hanya akan mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain.

Penggunaan bahanapi alternatif seperti gas asli mampat untuk kenderaan yang harganya telah ditetapkan berupaya untuk menjimatkan kos pengoperasian kenderaan.

Langkah langkah yang sewajarnya untuk mengatasi dan menampung kekurangan yang masih ada terutamanya penyediaan lebih banyak stesen NGV oleh Petronas amat perlu diberikan perhatian khusus.

Petronas yang memiliki infrastruktur pemprosesan gas di Bintulu yang juga merupakan logi memproses gas asli terbesar di rantau ini serta memiliki sistem penghantaran dan jalinan paip gas perlu mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan penggunaan NGV selaras dengan saranan kerajaan yang menggalakkan penggunaan bahanapi yang lebih bersih dan mesra alam.

No comments: