Thursday, July 24, 2008

Kereta buruk dan Debat Anwar - Shabery



Hampir sepurnama lamanya penulis menyambut ulangtahun kedua pemasangan NGV kit pada kenderaannya. Lima tahun yang lalu, demi untuk menjamin kestabilan ekonomi rumahtangga, penulis hanya berupaya untuk membeli kereta terpakai jenis Honda Accord CA1 berkuasa 1958cc keluaran tahun 1989 yang hampir dua dekad usianya untuk mengelakkan dari dari tabiat berhutang. Alhamdulillah, kereta tersebut dibeli dalam keadaan baik dan pemilik kereta terdahulu begitu teliti dalam penjagaan engin kereta tersebut.

Apabila dalam kenyataan Pak Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia ke-9 menyatakan hasrat untuk mengadakan tak kurang dari 200 buah stesyen NGV di serata Semenanjung Malaysia, terlintas difikiran penulis bahawa apa yang pernah dinyatakan oleh Stephen Leeb, seorang pakar ekonomi dan juga penulis sebuah buku bertajuk “The Coming Economic Collapse – How you can thrive when oil cost $200 per barrel” mungkin akan menjadi kenyataan. Tambahan pula, tema Rancangan Malaysia ke 9 adalah merupakan persediaan untuk membina kekuatan ekonomi dalam suasana ekonomi dunia yang tidak bermaya. Oleh yang demikian, setelah kira-kira 4 bulan lamanya membuat perkiraan dan kajian sendiri, penulis memberanikan diri untuk bertanya beberapa syarikat pemasangan kit NGV di Lembah Kelang tentang baik buruknya penggunaan NGV. Tak cukup dengan rancangan penambahan stesyen NGV, kerajaan juga kelihatan amat berkobar-kobar untuk melaksanakan rancangan untuk memajukan industri membuatan Biodiesel. Berbekalkan alamat-alamat yang agak membimbangkan tersebut, setelah menunggu giliran kira-kira 2 bulan lamanya, barulah kit NGV dapat dipasang dengan jayanya.

Itulah detik bersejarah mulanya perubahan cara hidup penulis dan secara tak langsung memberi peluang untuk membina minda agar sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar!

Terima kasih kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang telah menghadiahkan rakyat dengan kenaikan harga bahan api secara mendadak, tak sampai pun tiga bulan memerintah, dan memungkiri janji yang pernah ditaburkan semasa pilihanraya yang baru berlangsung. Penulis berkesempatan bertanyakan pendapat beberapa seudara mara penyokong kuat parti kerajaan di Johor Bahru baru-baru ini yang melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan Kerajaan pusat yang dipilih. Kesal yang amat sangat kerana mereka yang dipilih seolah-olah tidak mengambil berat kebajikan rakyat. Belum lagi ditambah dengan isu “Iskandar” yang menyebabkan kekuatan bangsa Melayu kian terhakis, yang ditaja sendiri oleh parti pemerintah.

Semalam (15/07/2008) telah berlangsungnya debat diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Shaberi Cheek. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, marilah kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab berfikir sejenak dan menilai apakah kerajaan sekarang telah menjalankan amanah dengan cara yang terbaik. Antara hujah menarik yang dibahaskan adalah seperti berikut:

Kenaikan harga minyak dalam julat yang tinggi dan mendadak diluar jangkaan rakyat membebankan semua lapisan rakyat. Kerajaan sepatutnya menjalankan tanggungjawabnya secara bijaksana dalam perbelanjaan negara. DSAI juga memberikan cadangan agar subsidi harga gas kepada Independent Power Producer (IPP) yang mengaut keuntungan berlipat ganda (yang menyebabkan PETRONAS & TNB mengalami kerugian) dikurangkan. Ini adalah berdasarkan hujjah bahawa terdapat lebihan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 40% banyaknya yang merupakan suatu pembaziran.

Apabila ditanya oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek mengapakan pendekatan sedemikian tidak diambil oleh DSAI dahulu, DSAI mengemukakan hujah bahawa segala apa yang dilaksanakannya dahulu ada terdapat dalam rekod dan meminta kerajaan membuka meneliti sebab mengapa Tan Sri Ani Arope meletakkan jawatannya dari TNB iaitu kerana tidak bersetuju dengan cadangan EPU dan Perdana Menteri mengenai isu kadar tariff yang dikenakan kepada IPP yang merugikan TNB (secara tidak langsung kepada PETRONAS yang membekalkan gas pada harga yang murah). Tiada jawapan atau apa-apa komen diperolehi dari Datuk Shabery Cheek mengenai hal ini!

Kepentingan dan kebajikan rakyat LEBIH utama kerana suara rakyat adalah suara keramat. Tanpa rakyat, maka tiadalah kerajaan. Jelas pendekatan yang diambil oleh Pakatan Rakyat lebih menjurus kepada menjaga kebajikan rakyat dan KETUANAN RAKYAT (tanpa mengira bangsa) menjadi teras perjuangan parti komponen Pakatan Rakyat.

Penulis berasa hairan mengapakan Venezuala serta Iran dijadikan contoh perbandingan dengan Malaysia oleh Datuk Shabery Cheek dalah hujahnya untuk menyatakan bahawa walaupun harga minyak di kedua-dua negara tersebut murah, inflasi dinegara-negara berkenaan sangat tinggi. Apakah Datuk Shabeery terlupa bahawa Venezuala adalah antara negara Amerika latin yang tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat dan ianya juga tidak mempunyai hasil ekonomi lain yang boleh dijadikan sandaran kukuh untuk membangunkan ekonomi. Iran pula, walaupun kaya dengan minyak, sudah sekian lama tersisih daripada negara luar dan menghadapi ancaman sekatan ekonomi kerana mempertahankan kedaulatannya dari kuasa penjajahan barat!

Datuk Shabery juga tidak menjawab pertanyaan Zulkifli Sulong yang bertanyakan soalan mengenai peruntukan RM4 billion lebih yang sepatutnya dibelanjakan untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam. Setakat ini menurut laporan, kerajaan hanya membelanjakan kira-kira lapan ratus ribu ringgit sahaja dan sesungguhnya pembaikan atau peningkatan kepada sistem pengangkutan awam tidak dapat dilihat dengan jelas sehingga ke hari ini. Sekarang apabila harga minyak dinaikkan mendadak, kononnya terdapat penjimatan subisidi sebanyak RM13 billion. Soalan Zulkifli Sulong ditolak oleh Shabery dengan mengatakan Zulkifli tidak mengikut perkembangan harga minyak yang semakin naik. Namun ianya tetap tidak menjawab persoalan:

  • Apakah yang telah terjadi kepada lebihan RM4 billion lebih yang sepatutnya dibelanjakan untuk mempertingkatkan pengangkutan awam – sedangkan nak membelanjakan peruntukkan RM800 ribu pun kerajaan menghadapi kesukaran? (ini membuka ruang rakyat untuk membuat tanggapan negatif terhadap kerajaan)|

  • Apakah yang bakal dibuat dengan penjimatan RM13 Billion yang diperolehi kerajaan tahun ini akibat tindakan kerajaan menaikkan harga minyak pada aras sekarang ini?

Malang sekali kita walaupun negara mempunyai asas ekonomi yang berteraskan perbagai sumber seperti industri terutamanya elektronik. kepala sawit, getah, perlancongan dan lain-lain, harga bahan api tetap naik secara mendadak.

Naib Chancelor Universiti Utara Malaysia pula kelihatan keliru apabila membuat pertanyaan kaitan mengenai apa kena mengena IPP dengan harga minyak - sedangkan saentaro dunia mengetahui apabila kita memperkatakan tentang perolehan syarikat petroleum, sudah tentu sekali ianya merujuk kepada industri “oil and gas”

Pada pendapat penulis, apa yang dibangkitkan oleh DSAI sebenarnya adalah mengenai pentingnya tatacara yang berhemah dalam menjana ekonomi negara terutamanya mengenai cara-cara menangani ketirisan dan kebocoran hasil kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan sedangkan wakil dari pihak kerajaan hanya menyempitkan ruang perbahasan terhad kepada janji Pakatan Rakyat kenaikan harga minyak sahaja yang kononnya digunakan untuk meraih sokongan rakyat.

Sesungguhnya rakyat boleh berfikir dan menilai sendiri apa yang baik untuk diri dan persepsi yang diperolehi boleh mempengaruhi keadaan sekeliling.

Akhir kata, suara rakyat adalah suara keramat. Rakyat adalah sebenarnya tuan. Wakil Rakyat yang dilantik sepatutnya memberikan penyelesaian dan perkhidmatan yang terbaik untuk menjamin kesejahteraan. Meminjam kata-kata Nabil “Hah… ko pikirlah sendiri!!”

Sekiranya keadaan tidak berubah, rakyat biasa seperti penulis akan sampai bila-bila terpaksa menggunakan kereta buruk demi menyahut seruan BN untuk mengubah cara hidup... biar rakyat papa kedana asalkan kroni kaya bergaya.

Semoga DSAI serta keluarga sentiasa bersabar dan bertawakkal kepada Allah diatas ujian yang diberikanNYA.

No comments: